Monday 7 April 2014

Wudhu'

Motivasi pagi hari ini mengingatkan kembali kisah benar seorang pakcik ketika menumpangkan Ustazah Norhafizah Musa pulang dari ceramah.

"Pakcik: Hari itu, isteri pakcik menelefon minta pakcik pulang cepat ke rumah. Beliau rasa seperti ajalnya semakin dekat. Saya merasa pelik. Pulang ke rumah, si isteri nampak sedikit lemah. Beliau minta panggilkan semua anak-anak, saudara-mara dan jiran tetangga. "Dah nak sampai masa rasanya ni" katanya.
Alhamdulillah, semua sempat berkumpul. Tidak berapa lama selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir!

Ustazah: Subhanallah, hebatnya isteri pakcik. Boleh pakcik kongsi amalannya?

Pakcik: Seingat pakcik, isteri pakcik tidak pernah sekali pun dalam keadaan tidak berwudhu'. Setiap kali batal wudhu'nya, akan diperbaharui semula. Setengah jam sebelum waktu solat fardhu, beliau telah berada di atas tikar sejadah, membaca Al-Quran. Bersiap-sedia menunggu waktu solat dengan rasa teruja. Mungkin ini antara amalannya yang Allah tengok dan turunkan rahmatNya di saat ajalnya tiba.

Itu secebis kisah yang dikongsi Ustazah.
Minggu ini Ustaz membawa kita merenung tentang air.
Hari ini kita imbas sejenak antara tips penenang diri ialah dengan - WUDHU'.

Wudhu' jalan untuk tenang.
Walau di sekeliling banyak ujian yang mendatang.
Ia saranan Nabi untuk sentiasa kekal dalam keadaan berwudhu'.
Cuba bandingkan keadaan diri ketika wudhu' & tanpa wudhu'.
Jiwa ketika wudhu' akan lebih menerbitkan rasa tenang.

WUDHU' itu sunnah. Jika dilihat & diamati lebih mendalam, terkandung banyak perkara sunnah di dalamnya yang mungkin kita tahu tapi sering terlepas pandang. Antaranya:-

1. Menyedikitkan air
Bagaimana kita buka kepala paip ketika Solat Jumaat? Kalau tak mencurah-curah banyaknya pasti tak sah bukan? Tengah hari ini, kalau boleh perlahankan aliran air, sekadar yang perlu sahaja.
Niatkan untuk ikut sunnah Nabi. Pasti ada ganjaran besar untuk diri.
Sebahagian surau/masjid yang ada paip automatik, ditekan baru keluar. Tujuannya untuk sedikitkan air. Mengelak terpercik kawan kalau air itu besar, tapi pahala sunnah itulah yang paling besar.

2. Bersugi
Ada yang sering bawa kayu sugi/berus gigi. Tapi kalau tak bawa? Guna sahaja jari, masukkan ke dalam rongga mulut. Gonyoh & cuci dengan niat untuk bersugi.

3. Masukkan sedikit air dalam hidung
Biasanya kita kurang buat. Lebihan air setelah berkumur sedut sedikit ke dalam rongga hidung dengan sebelah tapak tangan.
Ia amalan mudah, ringkas, tapi besar pahalanya.

4. Doa selepas wudhu'
Selepas wudhu' tadahlah tangan untuk berdoa (lihat gambar). Ia mungkin kita tahu tapi sering culas mengamalkan.

Tambahkan selawat di hari Jumaat yang penuh keberkatan.
Nabi Muhammad SAW jangan pernah dilupakan.
Moga Jumaat hari ini penuh dengan kebaikan.
Biar ia menjadi momentum diri untuk berjumpa Jumaat akan datang dengan rasa teruja dan penuh rasa taqwa kepada Allah Taala.

Hadirkan Nabi ketika wudhu' kita,
moga di Sana nanti, kita diizinkan hadir dalam ingatan Baginda.

Ustaz Idzhar Jumali - Motivasi Pagi 14 Mac 2014 @ Ikim.Fm 91.5 mhz

No comments:

Post a Comment

Popular Posts