Saturday 26 September 2015

Menu Hati 3

 1) Kuih Lapis

Saya berkesempatan melihat Arwah Nyai (panggilan untuk nenek sebelah ibu) membuat kuih untuk jualan. Antara kuihnya ialah kuih lapis. Teruja sungguh melihat bagaimana Arwah Nyai dengan penuh tekun dan sabar membuat kuih tersebut selapis demi selapis sehingga siap. Itulah sebabnya, ketika menikmati kuih lapis, saya suka makan selapis demi selapis. Setiap kali mengupas selapis, akan jelas terbayang jerih payah serta kesabaran Arwah Nyai. Saya menikmatinya dengan rasa syukur…...
Saya tidak berkesempatan melihat perjuangan pejuang kemerdekaan. Sekadar teruja mendengar cerita yang dikisahkan oleh Arwah Nenek sebelah abah tentang keperitan zaman jepun dan zaman orang putih. Sungguh pun begitu, saya berusaha agar setiap kali 'mengupas' selapis demi selapis lipatan sejarah, saya mencari-cari sebab untuk terus menjadi hamba yang menikmati kemerdekaan dengan rasa syukur padaNYA….

2) Burger
Sekeping daging, diapit dengan dua keping roti atas dan bawah. Pegang dengan kemas kedua-dua roti tersebut agar daging tetap berada di tengah-tengahnya.
Prinsip hidup.
Sekeping hati, diapit dua sifat iaitu sabar dan taat. Pegang dengan kemas kedua-dua sifat tersebut (sabar dan taat) agar hati tetap teguh berada di tengah-tengahnya.

"...Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;...."
Surah Al-Baqarah : 46



 3) Aiskrim
Aiskrim apabila terdedah di luar, cair dek kepanasan cuaca. Mahu ia beku seperti asalnya, masukkan semula ke dalam peti ais.
Iman apabila terdedah di luar, cair dek kehangatan 'cuaca persekitaran' yg pelbagai. Mahu iman kembali kental seperti asalnya, 'masukkan' diri semula ke rumah-rumah Allah.

4) Nasi lemak

Biarpun yang utama adalah nasi yang cukup lemak, namun elemen-elemen lain seperti sambal yang sedap, timun yang segar, bilis dan kacang yang rangup menjadi pelengkapnya.
Kebahagiaan keluarga : Biarpun yang utama adalah suami yang soleh, namun elemen-elemen lain seperti isteri solehah, anak-anak yang sejuk mata memandang, bi'ah solehah menjadi pelengkapnya.

5)  MENU

Ketika di kedai makan, pelayan akan menulis semua pesanan kita. Seusai menjamu selera, kita akan ke kaunter bayaran. Juruwang di kaunter akan menyatakan semula menu yang kita pesan. Di saat itu, dek kerana tepatnya apa yang disebutkan pada kita, kita hanya mampu menganggukkan kepala akur dan kemudian membayar jumlah harganya.

Ketika di dunia, 'kiraman katibin' akan menulis semua perlakuan kita. Seusai hayat dunia berakhir, kita akan ke mahkamah 'Rabbul Jalil'. Yang Maha Mengetahui akan menyatakan semula apa yang telah kita kerjakan di dunia dahulu. Di saat itu, dek kerana tepatnya apa yang disebutkan pada kita, kita hanya mampu menganggukkan kepala akur dan kemudian 'membayar harga' amalan tersebut samada dengan nikmat syurgawi atau azab neraka.

"...Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan...." Surah Yunus : 30

6) Makanan Sedap
Usahlah memilih makanan yang sedap di tekak sahaja, kerana selalunya makanan sebegitu tidak baik untuk kesihatan. Cubalah pilih makanan yang tidak sedap di tekak, kerana selalunya makanan sebegitu berkhasiat untuk kesihatan. Dan biasanya, lama-kelamaan ia jadi sedap di tekak juga, malah membuka selera kita untuk menikmatinya.

Usahlah pilih perbuatan yang seronok pada nafsu sahaja, kerana selalunya perbuatan sebegitu tidak baik untuk diri. Cubalah pilih perbuatan yang tidak seronok pada nafsu, kerana selalunya perbuatan sebegitu bermanfaat pada diri. Dan biasanya, lama-kelamaan ia jadi seronok pada jiwa, malah membuka 'selera' kita untuk merasai nikmat mengamalkannya.

7) Udang
Elergik betul dengan udang ni. Jangankan makan udang, makan nasi yang digoreng dengan udang pun boleh gatal mulut. Tak usik udang pun..kena berhati-hati ketika makan!

Bahaya betul dengan zina ni. Jangankan melakukan zina, mendekati perbuatan yang menghampiri zina pun boleh merosakkan diri dan ummah. Tak berzina pun....kena berhati-hati dalam kehidupan!

"..Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).." Surah Al-Isra' : 32
8) Mee
Walaupun namanya mee, takkanlah mee semata-mata. Bubuhlah sayur, udang, daging atau ayam sebagai perencah dalam mee kita tadi. Barulah meriah!
Walaupun namanya solat, takkanlah buat yang rukun semata-mata. Tambahlah amalan-amalan sunat, bacaan, doa, atau zikir sebagai tambahan dalam solat kita tadi. Barulah bersungguh!

9) Jemu
Kita sering jemu andai makan atau minum menu yang sama saban hari...

Yang Maha Mendengar tidak pernah sekali-kali jemu dengan doa, munajat, hajat serta permohonan kita yang sama saban hari dan waktu. Indahnya!

10) Putu Mayam
 Putu Mayam yang putih dan bersih, sering saja di'judu'kan dengan kelapa parut dan gula merah. Lagi banyak kelapa parut dan gula merah, lagi sedap.

Berita yang betul dan benar, sering saja di'tokok-tambah'kan dengan sesuatu yang sensasi. Lagi banyak di'tokok-tambah'kan dengan sesuatu yang sensasi, lagi 'sedap' katanya....

"...Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan...." Surah Al-Hujurat : 6
 
11) Aiskrim Roti
Roti boleh dimakan kosong begitu sahaja. Tapi andai mahu lebih menyelerakan, letak di celahnya aiskrim manis pelbagai perisa. Pasti lebih mengujakan dan terasa nikmatnya!

Hidup boleh dibiarkan kosong begitu sahaja. Tapi andai mahu lebih memberi pengertian, sematkan di celahnya kenangan manis pelbagai peristiwa. Pasti mengujakan dan terasa nikmat sebuah kehidupan!

12) Banana Split
Ketika segala yang manis disatukan dalam sebuah bekas ; pisang, aiskrim, brownies. Ditambah pula dengan kacang, sirap coklat dan wafer. Kenikmatannya tak terucap. Terasa setiap suapan suatu kepuasan. Indahnya!

Ketika segala yang manis disatukan dalam wadah kehidupan ; pasangan soleh/solehah, anak-anak 'qurratu ain', jiran tetangga yang mesra. Ditambah pula dengan saling mengukir senyum, tutur bicara berhikmah, gurau-senda berhemah. Kenikmatan hidup tak terungkap. Terasa setiap detik kehidupan suatu kepuasan. Indahnya!

13) Sarapan
Kata orang, sarapan pagi itu penting. Ia ibarat pembuka hidangan yang akan memberikan kekuatan meneruskan hari.

Pagi ini 'bersarapan' dengan keceriaan anak-anak kecil di Festival Nasyid Ceria, peringkat akhir Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ia ibarat pembuka semangat yang memberikan saya kekuatan untuk meneruskan perjuangan dalam nasyid dan dakwah.

14) Makanan Ringan

Seringkali ketika perut kosong, kita isi dengan mengambil jajan (makanan ringan). Ia sama sekali tidak mengenyangkan. Hanya menutup rasa lapar sementara sahaja. Akhirnya, kita mesti mengambil makanan ruji (nasi dan lain-lain), barulah hilang rasa kelaparan.

Seringkali ketika jiwa kosong, kita isi dengan hiburan (muzik dan lain-lain). Ia sama sekali tidak menenangkan. Hanya 'menutup' rasa kosong jiwa buat sementara sahaja. Akhirnya, kita mesti sedar untuk mengambil 'hiburan hakiki' (alquran, solat dan lain-lain), barulah hilang kekosongan jiwa.


15) Jagung
Pesan org tua-tua, andai mahu buah jagung bijinya rapat-rapat, usah bercakap semasa menanam benihnya. Diamkan diri sehingga selesai menanam. Entah benar, entahkan tidak....

Pesan Nabi SAW, andai kita beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam. Benarlah sabda junjungan!

Dari Abu Hurairah, bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka janganlah menyakiti tetangganya. Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka muliakanlah tamunya. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka berbicaralah yang baik atau diamlah” (HR Bukhari, Muslim, dan Ahmad)

16) Guru
Pesan ibu pada diriku, masa nak suap nasi, tundukkan kepala supaya nasi senang masuk ke mulut, hormati rezeki, bukan senang nak dapatkan rezeki...

Pesanku pada diri, masa nak dapatkan ilmu dan bersua dengan guru, tundukkan kepala supaya ilmu
senang masuk ke hati, hormati guru dan ilmunya, bukan senang nak dapatkan ilmu dan guru yang baik...

17) Perut Kosong
Bahaya sungguh bila perut kosong. Mulalah mengaruk mencari apa sahaja yang boleh diisi. Andai tiada makanan yang baik dan berkhasiat, apa jenis makanan pun akan diambil. Asalkan perut terisi...

Bahaya sungguh bila ada masa kosong/terluang. Mulalah minda 'mengaruk' mencari apa sahaja aktiviti yang boleh diisi. Andai tiada aktiviti yang baik dan berfaedah, apa jenis aktiviti pun akan dibuat. Asalkan masa terisi....

Dari Ibnu Abbas, dia berkata: Nabi Shallalahu alaihi wa sallam bersabda: “Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu lapang”.  
 [HR Bukhari, no. 5933]. 

18) Pop Corn
Ketika menikmati pop corn, kita mengharapkan agar bertemu cebisan yang manis-manis sahaja. Cuma, kadangkala kita bertemu dengan cebisan yang tawar. Tapi kita tak akan putus asa untuk meneruskan pencarian yang manis sehingga ke cebisan terakhir.

Ketika menikmati sebuah kehidupan, kita mengharapkan agar bersua cebisan pengalaman yang manis-manis sahaja. Cuma, kadangkala kita bertemu dengan cebisan pengalaman hambar. Tapi, usah berhenti dan putus asa untuk meneruskan pencarian cebisan kemanisan dalam hidup sehinggalah ke detik terakhir hayat ini.

"...Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir..."  
Surah Yusuf : 88
  
19) Bakul
Alkisah, seorang Ayah dan anak kecilnya pergi ke pasar membawa bakul besar mengisi ikan, sayuran, buah-buahan dan segala macam keperluan. Si anak kecil menyatakan hasrat untuk membawa bakul tersebut yang sarat berisi keperluan tadi. Si Ayah menyuruh anak kecilnya mendepangkan tangan ke atas kemudian meletakkan bakul berat tadi agar tersentuh tangan anak kecilnya. Dari jauh seolah-olah si anak yang memikul bakul, namun hakikatnya berat bakul itu ditampung oleh Ayahnya.

Alkisah, dalam hidup ini apabila kita menyatakan hasrat dan niat mahu memikul beban mendaulatkan agama Allah, sebenarnya kita tidak mampu memikulnya. Namun, atas niat dan usaha kerdil kita, Allah SWT akan sentiasa mempermudahkan urusan tersebut kerana DIA sebaik-baik Pemelihara. 'Depangkanlah' tangan (berdoalah) untuk sentiasa memohon pertolongannya menghidupkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Nescaya bantuan Ilahi akan bersama-sama kita.

." Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya..." Surah Ali Imran : 21
 
20) Kek
Ketika melihat sebiji kek, rasa seperti mahukan keseluruhannya. Namun, hakikatnya kita hanya mampu makan sepotong kek sahaja. Sepotong itu pun sebenarnya muak dan mengah mahu dihabiskan. Maknanya, keindahan sebiji kek kepunyaan kita ialah apabila ia dapat dibahagi-bahagikan dengan orang lain.

Ketika melihat bulatnya dunia serta isinya, rasa seperti mahukan keseluruhannya. Namun, hakikatnya kita hanya mampu memiliki sebahagian kecil sahaja. Sebahagian kecil itu pun sebenarnya muak dan mengah mahu dihabiskan. Maknanya, keindahan nikmat dunia kepunyaan kita ialah apabila ia dapat dikongsikan dengan orang lain.

21) Tom Yam
Pelbagai masakan asalkan sesuai dengan selera kita, diterima sebagai sebahagian dari menu makanan kita. Indahnya Malaysia!

Pelbagai amalan kebaikan asalkan sesuai dengan ajaran Islam, diterima sebagai sebahagian dari amalan & ajaran Islam. Indahnya Islam!

22) Roti Canai
Tips membuat roti canai :
1. Uli tepung sehingga menjadi doh-doh kecil
2. Simpan/biarkan seketika
3. Tebarkan/Canai sehingga nipis
4. Masak, tepuk-tepuk dan teruskan menebar sehingga selesai.


 Tips menghadapi ujian/mehnah :
1. 'Uli' ujian yang besar sehingga menjadi bahagian-bahagian kecil
2. Bertenang seketika/Ambil masa
3. 'Tebarkan'/kongsikan sehingga menjadi ringan
4. Anggap ujian sebagai 'pembakar' dosa, sentuhan & ingatan pada kita, dan teruskan kehidupan sehingga 'selesai'.

" Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.." Surah As-Syura : 30

23) Bubur Kacang

Bubur kacang hijau : Kacang hijau yang keras direbus sehingga lembut & kembang, dibubuh manis gula, ditambah lemak santan...nikmatnya!

Hakikat pengorbanan : Hati yang keras dilebur sehingga lembut & lunak, dikurnia manis iman, ditambah lemak pemberian....nikmatNya!

"..Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?..." Surah Ar-Rahman : 12 & 13 

24) Susu
Susu : Pilihan Junjungan SAW ketika disua Jibril AS dalam peristiwa Isra' Mi'raj. Pilihan yang fitrah ; baik, bersih dan suci... 
Dalam hidup, kita sentiasa disua dengan pelbagai pilihan. Pilihlah yang fitrah ; baik, bersih dan suci...  

"...(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..." Surah Ar-Rum : 30 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts